Sunday, January 25, 2009

Akhlaq Muslim

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Segala puji bagi Allah, Pemilik dan Pemberi hidayah,
Selawat dan salam keatas Rasulullah SAW, Rasul terakhir yang dengan pengorbanan bagindalah sampainya rahmat Islam kepada kita hari ini, juga keatas sahabat-sahabat baginda jenerasi awal yang telah bersabar bersama Islam diwaktu susah dan senang. Semoga Allah menjadikan iman dan akhlaq kita seperti mereka.

Adik-adik yang dikasihi...

Akhlaq – iaitu sikap dan perangai kita – adalah gambaran iman dalam hati kita. Tahap iman seseorang samada tinggi, atau rendah, ataupun tidak wujud sama sekali, itu adalah haq Allah semata-mata. Bukanlah haq kita sebagai hamba untuk mengatakan iman kita tinggi, ataupun iman orang lain rendah.

Tetapi walaupun kita tidak dapat melihat iman kita secara langsung, namun kita boleh melihatnya secara tidak langsung. Kita boleh melihat iman kita melalui akhlaq yang ada pada diri kita, sebagaimana yang disabdakan Rasulullah SAW:

“Semulia-mulia orang-orang mu’min tentang keimanannya ialah yang lebih baik akhlaq di kalangan mereka. Dan yang terpilih di kalangan kamu, ialah yang terpilih kebaikannya terhadap ahli keluarganya”.

[Riwayat at-Tarmizi daripada Abi Hurairah]

Adik-adik yang disayangi...

Akhlaq yang baik adalah hasil daripada iman yang baik. Orang yang beriman kepada Allah pasti mempunyai akhlaq yang baik. Lihatlah role model ikutan kita, Rasulullah SAW:

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran mengenai akhlak baginda:

“Sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai budi pekerti yang sangat tinggi”.

[Surah al-Qalam 68 : 4]

Tentang pendidikan Islam untuk membentuk seorang Muslim yang terbaik, Rasulullah SAW bersabda:

“Tuhanku telah mendidik aku beradab dengan semulia-mulia adab”.

[Hadith diriwayatkan oleh al-Ashari dan Ibn as-Sam’ani]

Maka adik-adik yang dikasihi sekalian...

Bentuklah akhlaq yang mulia di dalam diri kalian. Latihlah diri dengan sifat:

1. SIDDIQ. Iaitu bercakap benar.
2. AMANAH. Iaitu menjaga kepercayaan yang diberi kepada kita.
3. HILM. Iaitu bersifat lemah lembut.
4. TAWADDHU’. Iaitu merendah diri.
5. Al-KARM. Iaitu bersifat mulia.
6. AR-RIFQU. Iaitu bersifat belas kasihan.
7. SABAR. Iaitu mampu menahan diri daripada perasaan marah.

Sama-sama kita membentuk akhlaq-akhlaq mulia ini dalam diri kita, insyaAllah kita menjadi hamba yang semakin beriman dan lebih dikasihi Allah.

Semoga adik-adik sentiasa dalam peliharaan Allah.

p/s: InsyaAllah sambungan “Akhlaq Rasulullah ikutan kita 1” akan datang tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment